Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Khamis, 1 Mac 2012

Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka: Nota Mudah Memahami Hukum Hudud (Siri 1-5)


بســم الله الـرحمـن الـرحيـم
الحمد لله الحَكَمُ الْعَدْلُ اللطيف الخبير له ملك السموات و الأرض و هو على كل شئ قدير و الحمد لله الذي فضل العلما ...

Muqaddimah

Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim. Justeru sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya, kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke 36 :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ
وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata."

Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah ditetapkan secara tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan dibekukan, tetapi ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah dari Tuhan pencipta manusia. Lihat ketetapan Allah swt di dalam surah al Maaidah, ayat 49 :


وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."
Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang memiliki authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun. Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
"demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka mereka adalah orang - orang yg zalim"
Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah memperkecil dan mendustakan Allah swt. Allah tegaskan akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Insafi juga penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.

إِ
نَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ
"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah dan ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan jenayah."


Hudud memberi keadilan dan mengembalikan kehidupan yang sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum Hudud ini kecuali satu golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum Hudud adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit kes. Non muslim juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud bahkan mereka kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada.

Firman Allah swt. di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud. - siri kedua



Wajib Melaksanakan Hukum Hudud


Para alim ulama' telah memudahkan kita dengan menggariskan kategori ilmu dan syariat Islam seperti Ibadah, Muamalat, Munakahat dan Jinayat. Hudud adalah sebahagian dari undang - undang Jenayah Islam. [ Bahagian yang lain ialah Qisas dan Ta'zir. Insyaallah bahagian Qisas dan Ta'zir akan saya jelaskan di lain kesempatan.] Lantaran itu ia adalah sebahagian dari kesempurnaan Islam yang selayaknya dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati.


Inilah keistemewaan Islam sebagai agama yang syumul dan lengkap, merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah soal perundangan.Ianya wajib dilaksana sebagaimana kita wajib menunaikan solat, puasa dan ibadah yang lain. Firman Allah dari surah an Nisa' ayat 105 menjelaskan kewajipan ini .


إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat"

Kewajipan melaksanakan hukum Hudud ini adalah berpaksi kepada prinsip perundangan Islam untuk memelihara :


a] Agama : melalui undang - undang murtad
b] Nyawa : melalui undang - undang qisas
c] Aqal : melalui undang - undang arak dan minuman yang memabukan
d] Keturunan : melalui undang - undang zina
e] Harta benda : melalui undang - undang curi dan rompak.


[ semua jenis undang - undang ini akan diperincikan kemudian ]


Hari ini ummat Islam berhadapan dengan peningkatan serius indeks kadar jenayah. Bermula dengan jenayah riddah [murtad], jenayah bunuh, jenayah zina, jenayah rompak samun dan sebagainya. Tiada siapa yang dapat nafikan betapa graf kadar semua jenis jenayah ini semakin meningkat dari masa ke semasa dan ia gagal ditangani oleh undang - undang yang dicipta oleh manusia. Persoalannya, kenapa tidak, kita melaksanakan undang - undang Islam yang diwahyukan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia ? sedang pastinya undang- undang Allah swt lebih berkesan untuk menyelesaikan masaalah manusia sebagai makhluk yang diciptaNya.


Ummat Islam dan pemimpinnya mesti mencari 1000 jalan untuk membolehkan syariat Islam ini didaulatkan di atas negara kita yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Bukan mencari 1000 alasan atau dalih untuk mengelak diri dari melaksanakan perintah Allah swt. Jika British Law boleh dilaksanakan sekian lama dalam negara kita sedang hampir tiada penduduk tetap negara kita berbangsa British, kenapa masih ada sebahagian dari kita yang begitu prejudis terhadap perlaksanaan hukum Islam [hudud] sementara majoriti penduduk negara kita ialah muslim. Hayati Firman Allah swt dari surah at Taubah ayat 63 :


أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّهُ مَن يُحَادِدِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَأَنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيهَا ذَٰلِكَ الْخِزْيُ الْعَظِيم
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar"

Hukum Hudud di dalam Al Quran dan As Sunnah


Sebelum saya belayar jauh untuk menjawab pelbagai persoalan yang timbul di benak pemikiran masyarakat mengenai hukum hudud, eloklah sementara saya masih di dermaga perbincangan terlebih dahulu saya paparkan bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah didraf, digazet dan dilaksanakan lebih 1400 tahun yang lalu melalui dokumen induknya Al Quranul Kareem dan As Sunnah an Nabawiyah.


Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk dengan 6 atau 7 jenis kesalahan dan jenayah. [ saya ringkaskan dari Kitab Mugni al Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm. dan Kitab Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin Hj Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah rhm. ]


a] Zina : iaitu persetubuhan tanpa nikah yang sah menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak 100 kali. Draf undang - undang mengenainya telah termaktub di dalam surah an Nuur ayat 2 :

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."
b] Qazaf : Tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dalam masa yang sama gagal membawa 4 orang saksi lelaki yang adil. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak 80 kali sebatan. Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat 4 :

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"
c] Syarbul Khamr : Minum arak atau minuman yang memabukkan. Samada ianya dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak demikian juga mabuk ataupun tidak. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat tidak lebih dari 80 kali dan tidak kurang dari 40 kali. Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah :


جلد رسول الله صلى الله عليه و سلم أربعين و أبو بكرٍ أربعين و عمرُ ثمانبن و كلٌّ سنَّةٌ و هذا أحبُّ إليَّ
رواه مسلم
"Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak 80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang lebih aku sukai."
d] Mencuri : Mengambil atau memindah secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya. Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut. Nasnya di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem cegah dan kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
e] Murtad : Keluar dari agama Islam atau membatalkan aqidahnya dengan perbuatan, perkataan atau iktiqad [keyakinan]. Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada Islam dalam tempoh yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha.

من بدل دينه فاقتلوه.
رواه البخاري
"Sesiapa yang menukar / meninggalkan agamanya maka bunuhlah ia."
f] Hirabah : Merompak samada secara individu atau secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta atau membunuh atau menakut - nakutkan atau mengugut dengan kekerasan. Hukumannya apabila sabit kes adalah seperti berikut :
€ : Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.
€ : Hukaman mati di kayu palang apabila perompak telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.
€ : Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan mencederakan orang yang dirompaknya.
€: Hukuman buang negeri apabila perompak hanya menakut - nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.
Bentuk hukuman ini telah dimuktamadkan oleh Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 33 - 34 :

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
"Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
g] Bughah : segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] yang adil dan menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran Islam [ murtad ] tetapi mereka diperangi dengan kaedah dan syarat tertentu. Firman Allah swt di dalam surah al Hujurat ayat 9 :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Nota
: Sebahagian ulama' tidak memasukkan hukum Bughah di dalam kategori hukuman Hudud kerana mempunyai perbahasan dan pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak ditetapkan secara terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang dikenakan ke atas bughah.
Ringkasan 6 jenis jenayah hukuman Hudud tambah satu dari jenayah bughah yang telah saya paparkan di atas adalah bersifat umum untuk memudahkan pembaca memahami terlebih dahulu skop jenayah yang disabitkan dibawah hukuman Hudud ini tanpa saya menafikan masih banyak ulasan tambahan, perbahasan dan khilaf berkait dengan kaedah penghukuman dan sebagainya.

Sebagai peringatan awal kepada pembaca, saya hanya membawa bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah dijelaskan oleh al Quran dan Sunnah. Di sana masih terdapat perbahasan penting oleh para alim ulama' bersumberkan dari nas tersebut yang perlu diketahui oleh kita iaitu bagaimana proses menyabitkan kes seperti pembuktian, pembicaraan, syarat sabit kes dan seumpamanya. Begitu juga kaedah perlaksanaan hukuman apabila ia telah disabitkan. Pendek kata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami mengenai hukum Hudud ini.
Benarkah hukuman Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana masih ramai ummat Islam yang tidak memahami hukuman tersebut ?


Saya juga sarankan kepada semua pembaca bagi mendalami soal hukum Hudud ini dengan mengambil langkah pro aktif mempelajarinya secara langsung justeru ia adalah sebahagian dari ilmu Islam wajib dipelajari oleh ummat Islam. Zaman moden ini terlalu banyak kaedah dan kemudahan untuk mempelajari ilmu Islam ini. Terpulang kepada kesungguhan kita.


Masjid dan surau juga boleh mengambil langkah yang sama untuk membuka kelas pengajian berkait Perlaksanaan Hukuman Hudud secara bersiri menggantikan kuliah maghrib yang kadangkala hanya bersifat tazkirah biasa atau pengajian yang telah berulang kali dipelajari seperti bab bersuci, haid, nifas, solat dan haji tanpa saya menafikan pengajian itu juga penting untuk diulangkaji.


Saya tegas menasihati mereka yang tidak mengetahui dan mendalami pengetahuannya mengenai hukum Hudud ini agar tidak membuat ulasan dan kenyataan berasas fikiran sendiri apalagi menafsir hukum Hudud secara bukan - bukan dan jauh tersasar dari konteks hukum Hudud yang sebenar. Kelak ia akan memudaratkan diri kita sendiri apabila berdepan dengan kemurkaan Allah swt ekoran pandangan dan ulasan yang bertentangan dengan kehendakNya.


Jahil mengenai hukum Hudud tidak boleh menjadi hujjah bahawa hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan sebagaimana jahil mengenai solat tidak boleh menjadi hujjah solat tidak boleh ditunaikan. Ini kerana hukum Hudud samalah seperti kewajipan Islam yang lain justeru ianya telah dinaskan di dalam al Quran dan Sunnah sementara hukum Hudud juga telah digazet dan dilaksanakan oleh Rasulullah saw sejak hari pertama Baginda saw memerintah bumi Madinah al Munawwarah.


Malah perlaksanaan undang - undang negara hari ini yang merupakan fotostat dari undang - undang penjajah telah dilaksanakan dalam negara kita sejak mula negara merdeka tahun 1957 yang lalu, tanpa perlu pun menunggu rakyat memahami undang - undang tersebut. Bahkan mengikut kaedah perundangan, sesuatu undang - undang itu tidak terbatal hanya kerana pesalahnya tidak mengetahui undang - undang tersebut atau dalam erti kata lain, pesalah itu tidak mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu kesalahan di sisi undang - undang sekalipun, ia tetap tertakluk kepada undang - undang tersebut.


Apatah lagi undang - undang Islam yang telah siap drafnya melalui al Quran dan Sunnah secara muktamad untuk diguna pakai sepanjang zaman, malah telah digazet dan dilaksana sejak mula Islam memerintah di bumi Madinah al Munawwarah lebih 1400 tahun yang lalu. Pula terlalu banyak kitab dan buku yang dikarang oleh para sarjana Islam bagi membantu ummat Islam memahami undang - undang Islam ini di sepanjang zaman. Kalau kita tidak mengetahuinya, maka ia bukan salah undang - undang tersebut tetapi kecuaian kita kerana gagal mempelajari dan memahami undang - undang tersebut.


Alasan kononnya ramai ummat Islam tidak memahami hukum Hudud maka ianya tidak sesuai dilaksanakan pada hari ini adalah helah bermadah yang cukup strategik untuk tidak melaksanakan perintah Allah swt. Ajaibnya, ramai ummat Islam tidak memahami undang - undang British yang diamalkan dalam negara kita hari ini, tetapi sesuai pula dilaksanakan ? seperkara lagi , masih adakah ummat Islam hari ini yang tidak tahu zina itu salah, mencuri itu salah, membunuh orang itu salah, minum arak itu salah ? atau ia adalah bertolak dari kedegilan untuk patuh pada perintah Allah swt ?

Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman hudud akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan ketakutan. Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden ini ?



Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa hukum Hudud ialah hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah dinafi oleh sesiapa di dalam surah al Hujurat ayat 13 :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
"Maksudnya : Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan puak supaya saling kenal - mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."

Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima hukum yang juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan manusia [ makhluk yang diciptaNya ] di atas muka bumi. Siapa lagi yang lebih mengetahui tentang selok belok kehidupan manusia secara zahir dan batinnya jika tidak penciptanya sendiri iaitu Allah Jalla wa A'la. Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang termaktub di dalam surah al Baqarah ayat 138 :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat"."

Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah seperti Syarikat Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama Inspira. Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual operasi yang akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan Inspira berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat pengeluar justeru syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan baik dan meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna Inspira tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk produk mereka yang berjenama Pajero 4x4.



Begitulah manusia yang merupakan produk ciptaan Allah swt. Allah swt telah mengeluarkan buku manual iaitu al Quranul Kareem yang disertakan dengan hasil produknya demi memastikan kehidupan manusia di dunia ini terurus berdasarkan manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar cara dan gaya hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah swt lalu menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaithan yang dilaknat oleh Allah swt.


Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini dari Allah swt., bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini akan mencetuskan huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana perlaksanaan hukum Allah swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum tersebut. Mudah difahami apabila kita melihat realiti masyarakat kita hari ini. Huru - hara yang dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum Allah belum dilaksanakan dalam negara kita .


Ayah rogol anak, cucu perkosa nenek, anak menengking ibu yang sedang solat, gengster [ along ] berleluasa, jenayah bunuh berlaku setiap hari, penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri derhaka kepada suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat, yang kaya menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan bebas, pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam negara kita. Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa salahkan hukum Hudud sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?


Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah inilah yang akan mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum Allah swt tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah diserlahkan melalui firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu sistem cegah kawal dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada hukum Hudud kecuali penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah syariat Islam. Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah sabit kes. Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap hukuman Hudud kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata lain, tidak melakukan perbuatan jenayah seperti bunuh, mencuri, zina, menuduh orang lain yang baik berzina tanpa saksi, merompak dan minum arak. "Berani kerana benar dan takut kerana salah" adalah bidalan para bijak pandai yang masih terpakai hingga ke hari ini.


Non muslim juga tidak perlu takut terhadap perlaksanaan hukum Hudud justeru Hudud adalah hukum yang wajib terpakai ke atas ummat Islam sahaja sementara non muslim diberi peluang memilih. Jika mereka bersedia dengan rela mahu menerima pakai hukum Allah , maka dibenarkan sementara mereka enggan maka dipulangkan mereka kepada hukum agama mereka jika agama mereka menyediakan bentuk hukuman tertentu di atas kesalahan yang dilakukan atau jika tiada, berlandaskan konteks negara kita, kembali kepada undang - undang konvensional yang ada pada hari ini. Keputusan memberi hak memilih kepada non muslim ini adalah dari ketetapan Allah swt yang tidak boleh persoal oleh manusia. Firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 42 :
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ
فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
Melalui perbahasan ayat ini di dalam kitab Tafseer al Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti an Nakhaei, asy Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim diberi hak memilih samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul zimmah dijatuhkan hukuman melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada hukum yang disediakan oleh agama mereka.


Sementara sebahagian ulama' seperti Mujahid dan Ikrimah rhm menganggap ayat ini telah dinasakhkan dengan ayat و ان حكم بينهم بما انزل الله lalu mereka menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua kepada hukum Allah swt ini.




Kredit dan jazakumullahu khairan kasira buat penulis asal dan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka: Nota Mudah Memahami Hukum Hudud (Siri 1-5)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...