Menarik untuk diperkatakan tentang negeri paling utara di Semenanjung Malaysia ini.
Walaupun agak sepi dari pergolakan dalaman seperti negeri-negeri lain, Perlis sebenarnya juga mempunyai masalah sendiri, terutamanya selepas pilihanraya umum ke 12 pada Mac 2008.
Jika di Terengganu berlaku pemberontakan dua puak antara bekas menteri besar, Idris Jusoh dengan Ahmad Said hingga terkeluar kain rentang tertulis 'Kami Nak Idris, NATANG' khas ditujukan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perlis tidaklah sampai ke tahap itu.
Setelah bekas menteri besar, Shahidan Kassim diganti dengan Md Isa Sabu, tercetuslah perang antara kedua-dua pemimpin Umno hingga ke hari ini.
Walaupun pernah ditegur beberapa kali oleh Majlis Tertinggi parti reput itu, ia langsung tidak diendahkan badan perhubungan negeri malah ia semakin tidak terkawal sehingga wujud kini dua puak saling berebut kuasa dan projek atas nama pembangunan negeri.
Md Isa yang diketahui kurang dihormati terutamanya puak Azmi Khalid, Radzi Sheikh Ahmad serta Shahidan sendiri, tidak mampu mententeramkan keadaan yang semakin kusut di saat pilihanraya umum semakin kuat dirasakan.
Daripada 15 kerusi DUN yang ditandingi, penganalisis meramalkan sekiranya perpecahan ini tidak diubati segera dan berlaku tikam menikam, BN negeri hanya mampu memenangi antara 6 ke 7 kerusi sahaja.
Kerusi yang mampu dimenangi Pakatan Rakyat
Dalam parlimen Padang Besar, Pakatan Rakyat mampu merampas DUN Titi Tinggi dan Santan, manakala di parlimen Kangar, DUN Indera Kayangan dan Sena mampu digapai.
Manakala di parlimen Arau pula, DUN Guar Sanji dan Sanglang mesti dirampas selain mampu mempertahankan kemenangan sulung PAS di Simpang Empat yang dipegang Rus'sele Eizan.
Dengan peningkatan sokongan kepada PAS dan DAP, BN negeri mesti bekerja keras untuk meningkatkan sokongan selain mengurangkan perpecahan dalaman akibat perebutan kuasa antara puak Md Isa dan Shahidan.
Selain dua daripada tiga kerusi parlimen iaitu Arau dan Padang Besar mengalami kemerosotan majoriti ketara pada 2008, Najib Altantuya mesti melakukan sesuatu jika gelombang tsunami 2008 yang kali ini bermula dari selatan akan terus meruyup peluang BN untuk mempertahankan Putrajaya.
Jika di Padang Besar, pada 2008, Azmi cuma menang majoriti 5,348 berbanding 9,265 pada 2004, di Arau seharusnya lebih membimbangkan BN.
Adik Shahidan, Ismail hanya menang majoriti 300 undi menewaskan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din berbanding 3,243 undi yang diperolehi Syed Razlan Jamalulail pada 2004.
Maka tidak hairanlah pemimpin veteran Umno Perlis meramalkan BN akan tumbang dalam pilihan umum ke 13.
Bekas Ketua Penerangan negeri, Hashim Suboh berkata, pertelagahan sesama pemimpin dan wakil rakyat Umno yang tercetus sejak 2008 belum berakhir.
“Md Isa Sabu yang juga ADUN Bintong dalam parlimen Kangar, belum mengambil sebarang langkah untuk merapatkan semula hubungannya dengan pemimpin lain.
“Beliau harus ingat musuh beliau bukan Shahidan seorang. Mana-mana ADUN yang tidak dilantik semula itu adalah musuh-musuhnya.
“Lagi pun, Mohd Isa seorang pemimpin yang lemah dan tiada kebolehan,” kata penyokong kuat Shahidan".
Kumpulan Shahidan
Perpecahan Umno Perlis bermula selepas pilihan raya umum 2008, apabila Shahidan tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
Selepas menjadi Menteri Besar, Mohd Isa membuat rombakan exco negeri dengan mengetepikan penyokong kuat Shahidan.
“Bohong jika mengatakan Umno Perlis kuat,” kata Hashim.
“Jika ada kenyataan seperti itu, sama ada kepimpinan negeri menipu atau pemimpin Pusat tidak mengambil peduli Umno Perlis.”
Hashim menambah, mesyuarat Umno berkelompok Umno Kangar baru-baru ini boleh dijadikan ukuran.
“Ketua-ketua cawangan yang datang tidak sampai 50 peratus, Wanita (60 peratus) manakala Pemuda dan Puteri sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Perlis di ambang kejatuhan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan