بســـم الله الـرحمـن الـرحـــيم
Pengenalan:
Jika dikaji
sejarah umat Islam, akan ditemui salah satu subjek yang menyebabkan umat Islam
saling berselisih adalah berkenaan politik. Perselisihan ini bukan sekadar
debat dan saling memulau, akan tetapi menyebabkan pengangkatan senjata dan pertumpahan
darah.
Sebenarnya
Islam sudah meletakkan kaedah politik yang tersendiri. Sebagai agama yang
lengkap, Islam tidak lupa akan isu politik dan kepimpinan. Hanya saja di
kalangan umat Islam ada di antara mereka yang tidak sampai ilmu berkenaan hukum
politik Islam, atau mereka salah faham terhadapnya,
atau mereka mentakwilkannya atas sebab-sebab tertentu.
Insya-Allah dalam bab ini
saya akan terangkan ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam hukum
politik. Sebelum mengkaji bab ini, saya meminta para pembaca melakukan beberapa
perkara terlebih dahulu:
Pertama:
Bebaskan minda
anda daripada sokongan kepada parti sekian-sekian. Bungkuskan ia dan letak ke
tepi. Kajilah bab ini dengan minda yang baru, tulen lagi adil. Antara musibah
terbesar yang melanda umat Islam ialah mereka mengambil hukum politik daripada
kaum bukan Islam dan menjadikannya sebagai aqidah mereka. Pada waktu yang sama
mereka meninggalkan hukum politik yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala.
Antara sebab
utama mereka meninggalkan hukum politik Islam adalah kerana mereka tidak tahu
bahawa Islam memiliki hukum politik yang tersendiri. Atas dasar tidak tahu ini,
sebahagian mereka mengambil hukum politik bukan Islam dan berkata: “Ini adalah
urusan ijtihadiyah.” Alasan ini adalah tidak benar kerana para
ilmuan Islam telah menetapkan bahawa tidak ada ijtihad dalam urusan yang sudah
ada nas yang jelas.
Sebahagian lagi
berhujah dengan kaedah Ushul al-Fiqh: “Jika suatu perkara adalah wajib,
maka wajib jugalah perkara-perkara yang menghantar kepada kewajipan tersebut.”
Maka oleh kerana memiliki negara Islam adalah wajib, maka wajib jugalah kita
melibatkan diri dalam politik agar dapat mencapai penubuhan negara Islam. Alasan ini benar tetapi tidak tepat. Ini kerana untuk merealisasikan kaedah Ushul
al-Fiqh tersebut, kenapakah digunakan hukum politik kaum bukan Islam dan
meninggalkan hukum politik Islam? Kenapakah menggunakan cara bukan Islam untuk
menubuhkan negara Islam? Cara yang benar untuk merealisasikan kaedah Ushul
al-Fiqh tersebut adalah, oleh kerana memiliki negara Islam adalah wajib,
maka wajib jugalah kita menggunakan hukum politik Islam agar dapat mencapai
penubuhan negara Islam.
Kewajipan
menggunakan hukum politik Islam menjadi bertambah wajib jika kita merujuk
kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka
mereka itulah orang-orang kafir.”
[al-Maidah 5:44] Ini adalah sepotong ayat yang amat masyhur di kalangan
sesiapa yang berusaha untuk menubuhkan negara Islam. Hanya sahaja perlu
diterangkan bahawa perkataan “hukum”
dalam ayat di atas tidak terhad kepada hukum jenayah sahaja, akan tetapi
meliputi semua hukum Islam dalam bab tauhid, ibadah, akhlak, muamalat, perang,
politik dan kepimpinan. Justeru merujuk kepada hukum politik dan kepimpinan,
siapakah yang sebenarnya tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah?
Secara lebih
terperinci, hukum politik bukan Islam memiliki dua aspek yang perlu kita tinjau
secara mendalam:
1. Aspek demokrasi,
iaitu kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin dan menentukan manhaj
kepimpinan. Ini jelas menyalahi syari‘at Islam. Dalam hukum politik Islam,
pemimpin dipilih dan diangkat oleh sekumpulan orang yang baik agamanya,
cemerlang pemikirannya dan berilmu dalam urusan agama dan selainnya (Ahl
al-Hal wa al-‘Aqdi). Manhaj kepimpinan pula ditentukan oleh syari‘at Islam.
Kedua-dua perkara ini tidak boleh diserahkan kepada rakyat kerana:
Dan
jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi,
nescaya
mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;
tiadalah
yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain
hanyalah berdusta.
[al-An’aam
6:116]
Oleh itu hukum
asal bagi demokrasi adalah haram. Walaubagaimana pun, memandangkan Malaysia mengamalkan
demokrasi dan sistem pilihanraya sementara kita – umat Islam – tidak mampu
untuk menukarnya, kita terpaksa ikut serta dalam berparti dan mengundi. Jika
kita meninggalkannya, kaum bukan Islam akan mengambil alih kepimpinan negara.
Ini juga sesuatu yang haram untuk kita biarkan ia berlaku:
Dan
Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir
untuk
membinasakan orang-orang yang beriman.
[al-Nisa
4:141]
Di sini kita
berhadapan dengan dua perkara yang dilarang, namun kita terpaksa mengamalkan
salah satu daripada larangan tersebut, iaitu yang paling kurang kemudaratannya
(The lesser of two evils).
2. Aspek kepartian,
iaitu menubuhkan beberapa parti dengan setiap satu daripadanya memiliki
beberapa manhaj (manifesto) yang tertentu. Dengan beberapa parti ini, umat
Islam berpecah kepada beberapa kelompok atau jamaah, masing-masing jamaah
menyokong partinya dan menganggap partinyalah yang paling Islamik, paling
benar. Sekali lagi ini adalah haram. Firman Allah:
Dan
janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah,
iaitu
orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa
golongan.
Tiap-tiap
golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.
[al-Rum
30:31-32]
Dalam suasana
kita – umat Islam – terpaksa ikut serta dalam hukum politik bukan Islam
sebagaimana yang dijelaskan dalam aspek pertama di atas, tidaklah bererti kita juga
boleh berpecah kepada beberapa parti politik. Kita wajib bersatu dengan sebuah
parti, menjadi satu jamaah, iaitu keseluruhan umat Islam.
Lebih khusus
adalah suasana wujudnya kaum bukan Islam di Malaysia. Kita tidak boleh berpecah
manakala mereka pula bersatu. Kita tidak boleh berpecah sehingga membentuk
jumlah undi yang minoriti manakala kaum bukan Islam bersatu untuk membentuk
jumlah undi yang majoriti.
Demikian dua
aspek paling penting dalam hukum politik bukan Islam yang bertentangan dengan
hukum politik Islam. Disebabkan faktor keterpaksaan, kita umat Islam terpaksa
menceburinya. Namun ini tidaklah bererti kita menceburinya secara total
sehingga mengabaikan hukum politik Islam. Yang tepat adalah kita tetap
berpegang kepada hukum politik Islam, hanya dalam beberapa aspek tertentu kita
terpaksa mengikuti hukum politik bukan Islam, semata-mata atas dasar
keterpaksaan.
Sebagai
perbandingan perhatikan firman, Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya
Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi
dan
binatang yang disembelih tidak kerana Allah.
Maka
sesiapa terpaksa (memakannya) sedangkan dia tidak mengingininya
dan
tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia
berdosa),
sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Nahl
16:115]
Dalam ayat di
atas Allah menerangkan hukum makanan di dalam Islam. Kita hendaklah mematuhinya
kecuali dalam suasana terpaksa. Jika kita terpaksa memakannya, ini dilakukan
bukan secara berselera, “tambah dua tiga pinggan” dan mempelawa orang lain,
akan tetapi secara: “…sedangkan dia tidak
mengingininya dan tidak melampaui batas…”.
Oleh itu berdasarkan
hukum yang Allah turunkan, faktor keterpaksaan membolehkan kita melakukan
sesuatu yang dilarang, akan tetapi kebolehan tersebut bukanlah secara total tetapi
hanya sekadar perlu dan mencukupi.
Isi kandungan tajuk ini diambil sepenuhnya daripada :
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/ASWJ/ciri6.htm
Parti Islam SeMalaysia kekal berjuang secara sunnah walaupun berada di persada politik demokrasi الله اكبر |
ULASANKU : Sesungguhnya persoalan berkenaan tajuk di atas adalah sering
dijadikan isu oleh beberapa pihak terutamanya oleh golongan HT, maka untuk
lebih bersikap adil maka sebaiknya aku datangkan jawaban dalam permasalahan ini
yang diambil daripada mereka yang bergelar ilmuan Islam yang tidak telibat
secara langsung dalam mana-mana jawatan parti atau dalam ertikata lain tidak memiliki sesuatu kepentingan selain dari dasar tanggungjawab di atas jalan kebenaran.
والله اعلم
Tiada ulasan:
Catat Ulasan