Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Ahad, 13 Mac 2011

Hukum Politik Islam Dan Berpilihanraya Secara Demokrasi


        بســـم الله الـرحمـن الـرحـــيم       

Pengenalan:
Jika dikaji sejarah umat Islam, akan ditemui salah satu subjek yang menyebabkan umat Islam saling berselisih adalah berkenaan politik. Perselisihan ini bukan sekadar debat dan saling memulau, akan tetapi menyebabkan pengangkatan senjata dan pertumpahan darah.
Sebenarnya Islam sudah meletakkan kaedah politik yang tersendiri. Sebagai agama yang lengkap, Islam tidak lupa akan isu politik dan kepimpinan. Hanya saja di kalangan umat Islam ada di antara mereka yang tidak sampai ilmu berkenaan hukum politik Islam, atau mereka salah faham  terhadapnya, atau mereka mentakwilkannya atas sebab-sebab tertentu.
Insya-Allah dalam bab ini saya akan terangkan ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam hukum politik. Sebelum mengkaji bab ini, saya meminta para pembaca melakukan beberapa perkara terlebih dahulu:

Pertama:
Bebaskan minda anda daripada sokongan kepada parti sekian-sekian. Bungkuskan ia dan letak ke tepi. Kajilah bab ini dengan minda yang baru, tulen lagi adil. Antara musibah terbesar yang melanda umat Islam ialah mereka mengambil hukum politik daripada kaum bukan Islam dan menjadikannya sebagai aqidah mereka. Pada waktu yang sama mereka meninggalkan hukum politik yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Antara sebab utama mereka meninggalkan hukum politik Islam adalah kerana mereka tidak tahu bahawa Islam memiliki hukum politik yang tersendiri. Atas dasar tidak tahu ini, sebahagian mereka mengambil hukum politik bukan Islam dan berkata: “Ini adalah urusan ijtihadiyah.” Alasan ini adalah tidak  benar kerana para ilmuan Islam telah menetapkan bahawa tidak ada ijtihad dalam urusan yang sudah ada nas yang jelas. 
Sebahagian lagi berhujah dengan kaedah Ushul al-Fiqh: “Jika suatu perkara adalah wajib, maka wajib jugalah perkara-perkara yang menghantar kepada kewajipan tersebut.” Maka oleh kerana memiliki negara Islam adalah wajib, maka wajib jugalah kita melibatkan diri dalam politik agar dapat mencapai penubuhan negara Islam. Alasan ini benar tetapi tidak tepat. Ini kerana untuk merealisasikan kaedah Ushul al-Fiqh tersebut, kenapakah digunakan hukum politik kaum bukan Islam dan meninggalkan hukum politik Islam? Kenapakah menggunakan cara bukan Islam untuk menubuhkan negara Islam? Cara yang benar untuk merealisasikan kaedah Ushul al-Fiqh tersebut adalah, oleh kerana memiliki negara Islam adalah wajib, maka wajib jugalah kita menggunakan hukum politik Islam agar dapat mencapai penubuhan negara Islam.
Kewajipan menggunakan hukum politik Islam menjadi bertambah wajib jika kita merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir.” [al-Maidah 5:44] Ini adalah sepotong ayat yang amat masyhur di kalangan sesiapa yang berusaha untuk menubuhkan negara Islam. Hanya sahaja perlu diterangkan bahawa perkataan “hukum” dalam ayat di atas tidak terhad kepada hukum jenayah sahaja, akan tetapi meliputi semua hukum Islam dalam bab tauhid, ibadah, akhlak, muamalat, perang, politik dan kepimpinan. Justeru merujuk kepada hukum politik dan kepimpinan, siapakah yang sebenarnya tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah?
Secara lebih terperinci, hukum politik bukan Islam memiliki dua aspek yang perlu kita tinjau secara mendalam:

1.    Aspek demokrasi, iaitu kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin dan menentukan manhaj kepimpinan. Ini jelas menyalahi syari‘at Islam. Dalam hukum politik Islam, pemimpin dipilih dan diangkat oleh sekumpulan orang yang baik agamanya, cemerlang pemikirannya dan berilmu dalam urusan agama dan selainnya (Ahl al-Hal wa al-‘Aqdi). Manhaj kepimpinan pula ditentukan oleh syari‘at Islam. Kedua-dua perkara ini tidak boleh diserahkan kepada rakyat kerana:

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi,
nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;
tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
[al-An’aam 6:116]

Oleh itu hukum asal bagi demokrasi adalah haram. Walaubagaimana pun, memandangkan Malaysia mengamalkan demokrasi dan sistem pilihanraya sementara kita – umat Islam – tidak mampu untuk menukarnya, kita terpaksa ikut serta dalam berparti dan mengundi. Jika kita meninggalkannya, kaum bukan Islam akan mengambil alih kepimpinan negara. Ini juga sesuatu yang haram untuk kita biarkan ia berlaku:

Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir
untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
[al-Nisa 4:141]

Di sini kita berhadapan dengan dua perkara yang dilarang, namun kita terpaksa mengamalkan salah satu daripada larangan tersebut, iaitu yang paling kurang kemudaratannya (The lesser of two evils).

2.  Aspek kepartian, iaitu menubuhkan beberapa parti dengan setiap satu daripadanya memiliki beberapa manhaj (manifesto) yang tertentu. Dengan beberapa parti ini, umat Islam berpecah kepada beberapa kelompok atau jamaah, masing-masing jamaah menyokong partinya dan menganggap partinyalah yang paling Islamik, paling benar. Sekali lagi ini adalah haram. Firman Allah:

Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah,
iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan.
Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.
[al-Rum 30:31-32]

Dalam suasana kita – umat Islam – terpaksa ikut serta dalam hukum politik bukan Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam aspek pertama di atas, tidaklah bererti kita juga boleh berpecah kepada beberapa parti politik. Kita wajib bersatu dengan sebuah parti, menjadi satu jamaah, iaitu keseluruhan umat Islam.

Lebih khusus adalah suasana wujudnya kaum bukan Islam di Malaysia. Kita tidak boleh berpecah manakala mereka pula bersatu. Kita tidak boleh berpecah sehingga membentuk jumlah undi yang minoriti manakala kaum bukan Islam bersatu untuk membentuk jumlah undi yang majoriti.

Demikian dua aspek paling penting dalam hukum politik bukan Islam yang bertentangan dengan hukum politik Islam. Disebabkan faktor keterpaksaan, kita umat Islam terpaksa menceburinya. Namun ini tidaklah bererti kita menceburinya secara total sehingga mengabaikan hukum politik Islam. Yang tepat adalah kita tetap berpegang kepada hukum politik Islam, hanya dalam beberapa aspek tertentu kita terpaksa mengikuti hukum politik bukan Islam, semata-mata atas dasar keterpaksaan.
Sebagai perbandingan perhatikan firman, Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi
dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah.
Maka sesiapa terpaksa (memakannya) sedangkan dia tidak mengingininya
dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa),
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Nahl 16:115]

Dalam ayat di atas Allah menerangkan hukum makanan di dalam Islam. Kita hendaklah mematuhinya kecuali dalam suasana terpaksa. Jika kita terpaksa memakannya, ini dilakukan bukan secara berselera, “tambah dua tiga pinggan” dan mempelawa orang lain, akan tetapi secara: “…sedangkan dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas…”.
Oleh itu berdasarkan hukum yang Allah turunkan, faktor keterpaksaan membolehkan kita melakukan sesuatu yang dilarang, akan tetapi kebolehan tersebut bukanlah secara total tetapi hanya sekadar perlu dan mencukupi.
 
Isi kandungan tajuk ini diambil sepenuhnya daripada :
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/ASWJ/ciri6.htm


Parti Islam SeMalaysia kekal berjuang secara sunnah walaupun berada di persada politik demokrasi

الله اكبر
ULASANKU : Sesungguhnya persoalan berkenaan tajuk di atas adalah sering dijadikan isu oleh beberapa pihak terutamanya oleh golongan HT, maka untuk lebih bersikap adil maka sebaiknya aku datangkan jawaban dalam permasalahan ini yang diambil daripada mereka yang bergelar ilmuan Islam yang tidak telibat secara langsung dalam mana-mana jawatan parti atau dalam ertikata lain tidak memiliki sesuatu kepentingan selain dari dasar tanggungjawab di atas jalan kebenaran.
والله اعلم


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...